skip to main |
skip to sidebar
Kita 1 Malaysia : Jangan bangkitkan Isu Perkauman..
Posting
saya yang pertama berkaitan dengan politik telah mendapat maklum balas
yang sangat banyak dan aktif. Ia sangat membuka minda dan membuatkan
kita melihat perubahan landskap politik negara dari sudut yang lebih
meluas. Mana-mana komen yang beremosi, terpaksa saya ‘delete’ demi
menjaga keharmonian. Sebab kita mahukan diskusi ilmiah yang mematangkan
fikiran bukan menyakitkan hati dan perasaan. Malah ada yang terpaksa
saya ‘ban’ kerana mereka masih menyerang dengan kata-kata kesat meski
pun telah diberikan amaran.
Daripada beratus-ratus komen yang diberikan, ia membuatkan saya melihat dari sudut pandang yang agak berbeza.
Apa yang berlaku daripada keputusan piliharaya yang telah diumumkan
secara rasmi, BN secara keseluruhannya mengalami tamparan yang teruk
dengan kekalahan beberapa menteri dan menteri besar, serta kemerosotan
kerusi DUN dan PARLIMEN.
Apa yang kita lihat mungkin Tsunami
Pengundi Cina yang beralih arah kepada PR (bukan sekadar DAP). Tetapi
apa yang lebih tepat ialah Tsunami sebahagian besar pengundi tidak kira
Cina, Melayu, India dan lain-lain. Ini dapat dilihat daripada keputusan
pilihanraya itu sendiri dan ini adalah satu ‘wake up call’ kepada BN.
Seruan perubahan ini telah disambut oleh beberapa golongan iaitu 1)
Golongan pengundi muda, Gen-Y, yang banyak terdedah kepada media sosial.
Golongan ini tiada apa yang perlu mereka takuti. Minda mereka tidak
terpengaruh dengan isu-isu perkauman dan mereka ini lahir dalam zaman
lepas merdeka. 2) Kaum Cina yang kebanyakannya bekerja sendiri,
berniaga atau bekerja dengan syarikat swasta. Golongan ini juga tiada
apa yang mereka takuti. Mereka tidak bergantung kepada pemberian, sebab
itulah usaha memancing mereka ini tidak akan berhasil. 3) Orang Islam
yang menuntut kepimpinan yang amanah, telus, adil, berintegriti dan
kredibel serta usaha-usaha yang lebih merakyat.
Apa yang
berlaku, kita tidak boleh melihat semuanya sebagai perkauman (racist).
Ramai juga penyokong Cina yang beralih arah itu kerana sudah letih dan
sebagai tanda protes terhadap apa yang berlaku. Malah mereka mengangkat
pula bendera PAS tanpa segan silu. Bermakna ada sesuatu yang ada dalam
fikiran mereka ini melangkaui aspek perkauman. Setelah lebih 50 tahun
BN menerajui negara, maka banyak pembongkaran telah dibuat melalui media
baru. Sama ada apa yang dibongkarkan itu tepat, tidak tepat atau
kurang tepat itu tidak lagi penting, yang penting ia berjaya melakukan
satu gelombang yang menuntut agar dilakukan satu perubahan atau
transformasi secara yang lebih besar dan lebih menyeluruh terhadap
integriti pemimpin, cara mengurus dan kebajikan rakyat.
Apabila ia tidak nampak usaha membenteras dan mengatasinya dilakukan
dengan serius, atau pada tahap yang memuaskan, maka rakyat (daripada 3
golongan di atas ) bangkit dan membuktikannya melalui pilihanraya. Cuma
bezanya, Cina yang lebih ramai secara berani menyahut seruan perubahan
yang PR laungkan ini. Maka kesannya, kerusi MCA banyak yang hilang
iaitu daripada 15 kini tinggal 6 kerusi sahaja. Dan GERAKAN daripada 2
kini tinggal hanya 1 kerusi. Bagi sesetengah pihak, ia dikatakan
perkauman (namun secara peribadi sentimen perkauman bukan perkara utama
dalam PRU13 ini, tetapi ia lebih kepada sentimen mahukan perubahan).
Bagi Kaum Cina sendiri ia dilihat sebagai satu pengorbanan dan
percaturan politik. MCA dan MIC menjadi tidak berdaya disebabkan mereka
tidak mampu menepis segala pendedahan-pendedahan dan isu-isu yang telah
dibangkitkan kesan daripada pemerintahan BN sebelum ini.
Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan oleh kerajaan BN yang baru dibentuk
dan diterajui oleh PM Dato’ Seri Najib kali ini bagi mengembalikan
kepercayaan rakyat.
Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah:
1) Melantik barisan Menteri Kabinet daripada mereka yang berintegriti dan boleh bekerja untuk rakyat.
2) Memperbaiki cara mengurus dan menyalur sumber agar lebih efisien, telus dan adil dan mengurangkan pembaziran dan ketirisan.
3) Mengambil kira manisfesto PR dan memanfaatkannya untuk kebaikan rakyat.
4) Merapatkan jurang perkauman dengan tidak lagi dilagu-lagukan dan
ditakut-takutkan dengan isu-isu yang menimbulkan rasa tidak selamat dan
tidak harmoni.
5) Meneruskan usaha-usaha 1 Malaysia yang sampai
kepada golongan yang berpendapatan rendah dan luar bandar tanpa mengira
parti.
6) Melakukan pembangunan secara menyeluruh tanpa mengira negeri itu di bawah pemerintahan siapa.
7) Lebih Islamik dalam kepimpinan dan meningkatkan kuasa yang ada pada
Mahkamah Syariah dan mula secara perlahan-lahan memberikan kefahaman
tentang Islam kepada orang bukan Islam agar mereka mampu menerima
undang-undang Islam dan melihat akan kebaikannya.
8) Dan pelbagai usaha yang baik dari semasa ke semasa.
Dengan cara ini, 5 tahun daripada sekarang, pastinya rakyat akan memberikan mandat yang lebih besar kepada mereka dalam PRU14.
Wah, banyaknya saya tulis kali ini.
SIla berikan pandangan tuan puan. Bincangkan secara berhemah sebab
tulisan kita lambang peribadi kita. Anda boleh untuk tidak bersetuju.
Fanpage saya ini aktif, oleh itu tulisan anda mungkin dibaca oleh mereka
yang punya akses untuk lakukan perubahan ini.
NOTA:
Keputusan sudah rasmi, yang mahu dibincangkan ialah apa yang patut
dilakukan untuk 5 tahun ini . Membicarakan soal blackout, dakwat dan
hantu, tidak akan berkesudahan. Bukan kerana ia tidak penting, tetapi
kerana keputusan sudah rasmi. Jadi fokus terhadap apa yang perlu
dilakukan dalam 5 tahun ini.
sumber fb Dr. Ismadi : https://www.facebook.com/drasmadi/posts/10151460098197408
Tiada ulasan:
Catat Ulasan