16 Disember 2008

Suami jadi suri rumah? — Keluarga jadi pincang – Dr. Lo’Lo’

Manakala Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Sharizat Abd Jalil berkata fenomena ini adalah sihat.
KUALA LUMPUR 22 Ogos
: Keluarga akan menjadi pincang jika lelaki dibiarkan menjadi suri rumah sepenuh masa kerana ia amat bertentangan dengan agama dan fitrah kehidupan manusia kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Lo’ Lo’ Mohd. Ghazali.

suami jadi suri rumah

Menurutnya, Islam sendiri telah menetapkan bahawa tugas utama suami ialah mencari nafkah serta menyediakan keperluan asas mengikut kemampuan masing-masing.

Kata beliau, golongan isteri hanya bersifat sebagai pembantu kepada suami dan mereka tidak seharusnya dibebankan dengan tugas menyara keluarga walaupun pendapatan yang diperoleh lebih tinggi.

“Perkara ini ada disebut dalam al-Quran dan oleh itu ia wajib dipatuhi. Fitrah ini tidak boleh diubah dan jika ia benar-benar berlaku pada masa depan kehidupan keluarga terlibat boleh menjadi pincang.

“Bagi saya bilangan wanita atau isteri profesional lebih ramai bukan satu masalah kerana dalam apa jua keadaan suami wajib menjalankan tanggungjawab mencari nafkah kerana ia merupakan tuntutan agama.

“Jenis pekerjaan tidak harus menjadi isu asalkan pekerjaan itu halal dan tidak bertentangan dengan Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah bahawa ramai lelaki mungkin terpaksa menjadi suri rumah pada masa depan jika fenomena pelajar perempuan menguasai institusi pengajian tinggi (IPT) dibiarkan berlarutan.

Ibrahim berkata, secara umumnya setiap universiti di negara ini memiliki jumlah pelajar perempuan yang jauh lebih ramai berbanding lelaki.

Dr. Lo’ Lo’ berkata, semua pihak harus sedar bahawa setiap peraturan dalam Islam ada hikmahnya dan jika ia diingkari boleh mendatangkan musibah.

Beliau sendiri, jelasnya, mempunyai kenalan wanita yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dan berkahwin dengan lelaki berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya lihat keluarga mereka cukup bahagia walaupun pendapatan isteri lebih tinggi daripada suami. Dalam keadaan seperti ini apa yang lebih penting ialah persefahaman.

“Walaupun pendapatan suami tidak setinggi mana, suami tetap menjadi ketua keluarga dan kedudukan ini tidak akan berubah sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku dalam keluarga kenalannya itu ialah suami tetap bekerja walaupun pendapatan isterinya besar.

“Saya tidak boleh terima suami duduk di rumah menjadi suri rumah. Mereka perlu bekerja walaupun pendapatannya tidak seberapa. Suami tetap kena bekerja.

“Kedudukan isteri yang lebih tinggi dari segi kewangan tidak boleh dijadikan alasan tanggungjawab serta tugas menyara keluarga diserahkan kepada isteri.

“Bagi isteri pula kita wajib patuh kepada suami walaupun kita ini golongan profesional. Saya sendiri masuk ke dapur walaupun saya seorang doktor kerana ia adalah tugas saya ketika berada di rumah,” katanya.

Fenomena sihat - Sharizat
Lelaki ke dapur adalah satu fenomena yang sihat kerana ia mewujudkan perkongsian dan tanggungjawab dalam membesarkan anak serta mengurus rumah tangga, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, jika dahulu lelaki ke dapur dianggap tidak ‘macho’, tetapi sekarang ukuran tersebut telah berubah apabila semakin ramai golongan lelaki termasuk yang berpendidikan tinggi berbuat demikian.

‘‘Bagi saya, sama ada wanita atau lelaki ke dapur bukan isunya. Yang mustahak ialah hormat yang diberi kepada pasangan kita.

‘‘Kalau wanita duduk di rumah dan ke dapur pun, kalau kaum bapa yang bekerja tetapi tidak beri hormat, tidak patut. Samalah juga kaum bapa dia sendiri nak duduk di rumah, boleh, tetapi kita mesti hormat dia,’’ kata kepada pemberita di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, demikian ketika diminta mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia mengenai kemungkinan ramai lelaki terpaksa menjadi suri rumah pada masa depan jika fenomena pelajar perempuan menguasai institusi pengajian tinggi (IPT) dibiarkan berlarutan.

Menurut Shahrizat, ramai lelaki di kalangan pasangan muda sekarang ke dapur dengan sukarela dan bersama-sama mendidik anak serta menguruskan rumah tangga.

Fenomena itu sebaliknya kata beliau, tidak boleh dilihat pada zaman beliau dengan tiada lelaki hendak ke dapur.

‘‘Saya tengok sekarang, banyak pasangan muda yang ke dapur, dia tolong jaga anak, bantu membuat susu anak dan mencuci lampin.

‘‘Bukan ada polisi (menyuruh mereka berbuat demikian) tetapi mereka sendiri mahu mengecapi nikmat menjadi seorang ayah. Ini termasuklah menjadi sebahagian daripada proses pembesaran anak- anak.

‘‘Mereka tidak melihat itu sebagai satu perkara yang merendahkan martabat mereka tetapi mereka hendak menjadi sebahagian daripada proses tersebut,’’ katanya.

Shahrizat menjelaskan, secara tradisi wanita merupakan orang yang bertanggungjawab untuk ke dapur, mengurus rumah tangga dan membesarkan anak.

‘‘Tetapi kaum bapa sekarang sedang merasai nikmat menjadi seorang ayah. Jadi, mereka tidak mahu melepaskannya,’’ katanya.

Mengenai kekurangan pelajar lelaki di IPT, beliau yang turut bimbang dengan perkembangan itu bagaimanapun menegaskan, peluang pelajar perempuan tidak patut dikorbankan hanya kerana peratusan pelajar lelaki telah merudum.

Sebaliknya, Shahrizat yang menggesa semua pihak mengambil serius perkara itu, mahu satu jalan penyelesaian terbaik dicari tetapi tanpa menyekat peluang pelajar wanita.

‘‘Zaman ini, kita tidak boleh lagi berbicara hendak meningkatkan standard wanita supaya mereka susah nak masuk (IPT) dan mengurangkan peratusannya.

‘‘Kita tidak boleh ada diskriminasi di negara ini. Sebaliknya, kita kena ada satu perancangan supaya pelajar lelaki boleh bersaing bersama pelajar perempuan.

‘‘Saya tidak rela melihat anak generasi muda daripada kaum lelaki terbiar, tetapi jangan sekali-kali mengorbankan kaum wanita hanya kerana hendak memastikan bilangan seimbang,’’ tegasnya.


p/s : so para lelaki.. kerjalah walaupun menjadi pencacai pengangkat najis(janji ikhlas), itu adalah lagi mulia daripada kaya raya (korporat) tapi mencuri, melakukan riba', dsb..

sumber : http://jiwokelate.wordpress.com/

Tiada ulasan: